Alvaro Morata menyuarakan keterujaannya mengenai masa depan skuad kebangsaan Sepanyol selepas mengesahkan tempat dalam suku akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi.

Penyerang itu menjaringkan gol kedua dalam kemenangan 3-0 Sepanyol ke atas Serbia, Di mana dia turut terlepas peluang sepakan penalti 11 minit sebelum itu.

Aymeric Laporte dan Alex Baena turut menyumbang gol untuk La Roja dalam perlawanan berkenaan.

Pasukan kendalian Luis de la Fuente itu kini telah memenangi 12 daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan sepanjang tahun ini selain dua keputusan seri dan hanya satu kekalahan untuk merekodkan kemenangan terbanyak dalam setahun sejak 2013.

Walaupun kehilangan tujuh pemain utama termasuk Lamine Yamal, Rodri, dan Dani Olmo, Sepanyol tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pasukan bimbingan Dragan Stojkovic itu di Cordoba.

Kemenangan terbaru itu membuatkan kapten Sepanyol, Morata, teruja tentang masa depan pasukan itu dan penyerang AC Milan itu percaya mereka mampu meneruskan kejayaan selepas menjuarai Euro 2024


"Kami berada di satu lagi pusingan akhir kejohanan utama dan ia adalah sesuatu yang harus dibanggakan.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang cedera, kami merindui mereka tetapi kami perlu melihat sisi positif iaitu pemain muda yang tampil ke hadapan.

"Apa yang telah kami cipta ini adalah istimewa dan kami perlu terus bergerak ke depan. Sepanyol mempunyai masa depan yang luar biasa," katanya.