Tiada yang berkebetulan. Apabila dua pemain terhebat turun beraksi, jurang waktu dan jarak perjalanan pun tidak menjadi pemisah. Ia adalah satu malam yang menjadi penanda mercu dan pencapaian bersejarah buat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, sambil kedua-duanya mengukuhkan kedudukan selaku antara dua pemain terbaik sepanjang zaman.

Di Buenos Aires, seperti dirakamkan laman cnn.com, Messi dan rakan-rakan sepasukan La Albiceleste beraksi di laman sendiri buat julung-julung kalinya sejak kejayaan menjuarai Piala Dunia di Qatar lebih sedikit dari tiga bulan lalu.

Diberikan sambutan wira oleh lebih 80,000 penyokong di stadium ikonik River Plate, Estadio Monumental, pesta keraiannya berlanjutan hingga ke awal pagi.

Pemain-pemain dipersembahkan trofi Piala Dunia, yang diarak mereka di sekeliling padang seusai kemenangan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan menentang Panama.

Anggota skuad juara Piala Dunia di Qatar, Disember lalu itu semuanya dipanggil semula untuk dua perlawanan persahabatan menentang Panama dan Curacao agar mereka dapat diraikan dalam kegemilangan mereka.

Sepak mula perlawanan dengan Panama itu menyusuli suatu pesta yang terdahulu berlangsung lebih empat jam hinggakan perlawanan berkenaan seolah-olah hanya satu acara sampingan.

Ia memerlukan 78 minit untuk Argentina menemui jaringan menerusi Thiago Almada ketika berdepan lawan yang ditakrifkan sebagai pasukan simpanan Panama.

Kemudian, ketika aksi berbaki seminit, detik gemilang menyusul buat Messi, yang melebarkan kemenangan kepada 2-0 hasil sepakan percuma memukau – gol antarabangsanya yang ke-99 dan yang ke-800 sepanjang kerjaya profesionalnya.



“Saya sentiasa mengimpikan momen ini, meraikannya dengan anda semua di negara kita, Argentina, menjulang trofi terhebat, iaitu Piala Dunia,” kata Messi di upacara penutup.

“Marilah kita terus lakukan ini dan menikmatinya kerana kita telah menanti lama untuk memenanginya semula.”

Pada malam yang sama, Ronaldo meleburkan rekod penampilan antarabangsa terbanyak ketika dia membuat kemunculan ke-197 buat Portugal dalam kemenangan 4-0 ke atas Liechtenstein dalam perlawanan kelayakan Euro 2024.

Rekod penampilan antarabangsa terbanyak dengan 196 sebelumnya adalah milik penyerang Kuwait, Bader Al-Mutawa.

Ronaldo menjaringkan dua gol – satu sepakan penalti dan sepakan percuma mengagumkan – dengan jaringan selebihnya daripada Joao Cancelo dan Bernardo Silva.

Penyerang berusia 38 tahun itu membuat kemunculan sulungnya bersama Portugal pada 2008 dan sudah meraih 120 jaringan antarabangsa.