Manchester United telah dilaporkan menghubungi bekas penyerang untuk menyertai staf kejurulatihan pasukan tersebut.

The Red Devils menamatkan saingan di tempat kelapan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu, dengan masalah kecederaan membelenggu pasukan sepanjang musim. Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Luke Shaw antara pemain yang kurang beraksi untuk pasukan Erik ten Hag, namun berjaya menamatkan musim dengan kejuaraan Piala FA bulan lalu.

Dengan INEOS mahu membantu kelab kembali menemui semula zaman kegemilangan, Manchester United sudah mula proaktif musim panas ini dan dijangka bakal mendapatkan jurulatih baru untuk menyokong perancangan pasukan menjelang musim yang bakal bermula tidak lama lagi.

Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, Ruud van Nistelrooy, telah dihubungi untuk menjadi sebahagian daripada staf Erik ten Hag di Manchester United. Kali terakhir Van Nistelrooy berkhidmat adalah bersama PSV Eindhoven sebagai pengurus namun mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya ekoran tidak mendapatkan sokongan pasukan tersebut.

Bekas penyerang Real Madrid itu turut telah dihubungi Burnley untuk menjadi ketua jurulatih baru, selepas The Clarets tersingkir dairpada saingan Liga Perdana Inggeris 2023/24.

Van Nistelrooy sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk bekerja di Liga Perdana dalam beberapa jenis peranan pengurusan.

"Saya benar-benar ingin berkhidmat di Sepanyol, dan saya telah mengadakan perbualan beberapa kelab Sepanyol," katanya kepada AS.

"Tetapi juga liga lain di mana saya telah bermain, saya mahu melatih di sana juga. Dalam Liga Perdana Inggeris, dan Bundesliga."