NEWCASTLE 6 TOTTENHAM 1

Hugo Lloris memohon maaf kepada penyokong selepas mengakui rakan sepasukannya kurang menunjukkan rasa bangga ketika menyarung jersi Tottenham dalam kekalahan memalukan mereka di Newcastle United, malam tadi.


Tottenham ketinggalan 0-5 selepas hanya 21 minit sepak mula di St James' Park dan pada ketika itu mungkin sudah reda untuk menanggung aib 1-6.

Pertahanan longlai selain kekurangan kemahuan daripada barisan pemain pelawat menyaksikan pintu gol mereka mudah dirobek tuan rumah yang menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Cengkaman Tottenham di tempat kelima kian lemah termasuk ditewaskan Bournemouth di tempat sendiri selain bakal menghadapi tugasan sukar menentang Manchester United dan Liverpool minggu ini.



Dengan prestasi yang semakin merosot, mereka berisiko kehilangan tiket bola sepak Eropah musim depan dan Lloris tanpa berselindung berkata usaha mereka di Newcastle adalah amat memalukan sambil menyifatkan persembahan itu sebagai sedikit kucar-kacir.

"Ia sangat memalukan dan perkara pertama mungkin kami harus meminta maaf kepada peminat yang bertandang dan kepada peminat yang menonton perlawanan ini," katanya kepada Sky Sports.





"Jelas sekali kami tidak mempamerkan karakter yang hebat pada hari ini. Saya rasa kami gagal menandingi prestasi pemain Newcastle. Kami terlewat dalam segala aspek permainan dan kami terlepas sepenuhnya bahagian pertama permainan ini.

"Jelas sekali babak kedua adalah cerita berbeza tetapi hari ini benar-benar menyakitkan. Ia bukan soal taktik, kami cuma tidak dapat melawan.

"Saya rasa Newcastle telah mengharungi satu perlawanan yang hebat. Mereka sangat agresif, mengasak hebat setiap kali mereka mendapat bola. Mereka melihat ke hadapan dan ketika ini mungkin sukar untuk menilai dan menganalisis prestasi kami sendiri.

"Tetapi perkara pertama adalah mungkin kurangnya rasa bangga. Untuk melepaskan empat gol dalam masa 20 minit dan di atas padang pula, ia adalah sesuatu yang pelik kerana seakan-akan kami tidak boleh bertindak balas.

"Kami tidak mampu bangkit dan Newcastle berhak menerima pujian.

"Mereka memulakan permainan dengan kadar 100 batu sejam dan mereka sangat dinamik dan tahu apa yang perlu dilakukan dengan bola dan tanpa bola.

"Kami pula agak lewat di setiap penjuru padang dalam segala aspek permainan."