Selangor FC berwaspada apabila menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City, yang mendapat sentuhan pengendali baru, Nenad Bacina.

Pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe, berkata dia menjangkakan aksi berbeza bakal dipamerkan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

“Dalam situasi Kuala Lumpur, terutama apabila mendapat jurulatih baru, saya jangka pemain mereka lebih yakin untuk menentang kami.

“Kami pula seperti biasa, akan melakukan persiapan terbaik kerana 'Derby Lembah Klang, ini kita tahu amat sukar," katanya.

Bacina dilantik oleh KL City sebagai pengendali baru pasukan itu bagi menggantikan Bojan Hodak, yang kini mengendalikan kelab Indonesia, Persib Bandung.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu bukanlah nama asing buat KL City apabila pernah menjadi pembantu Bojan di kelab itu bagi musim 2021 hingga 2022.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengakui Selangor tidak boleh kehilangan mata dalam baki saingan liga sekiranya mahu menamatkan musim dalam kelompok pasukan teratas.

“Sudah tentu kami mahu mencari keputusan positif dalam setiap perlawanan.

“Tetapi kami juga sedar cabaran yang perlu dihadapi, terutama apabila pasukan lain ada yang mendapat pemain berkualiti dalam jendela perpindahan ini, yang sekali gus menguatkan pasukan mereka," katanya.

Kredit: Sinar Harian