Tonggak tengah Terengganu, Nik Sharif Haseefy Lazim, mengakui lega apabila jaringan penaltinya dalam waktu kecederaan membantu pasukannya membawa pulang satu mata dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Majlis Perbandaran Manjung petang semalam.

Lebih manis, jaringan itu merupakan gol sulung buat pemain berusia 27 itu dalam kempen Liga Super musim ini.

Biarpun berdepan prestasi tidak menentu ketika ini, Nik Sharif Haseefy memberikan jaminan bahawa skuad penyu itu akan terus berusaha untuk kembali ke landasan kemenangan selepas gagal melakukannya dalam lapan perlawanan terdahulu.

"Alhamdulillah, amat lega kerana kita tahu kualiti yang dimiliki Haziq (Nadzli, penjaga gol Perak)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tujuan saya mengambil sepakan penalti itu adalah untuk kembali mendapatkan keyakinan buat diri saya.

"Saya amat terbeban kerana saya merupakan pemain gantian dan kami sedang ketinggalan 1-2.

"Seandainya tidak gol, pasti saya tidak dapat tidur selama seminggu.

"Seperti yang selalu kami bincangkan, jika kami dapat satu kemenangan, ia ibarat pecah telur dan seperti saya juga tadi, dapat menjaringkan gol pertama musim ini," katanya.