Pemilik Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menjawab spekulasi berkaitan bintang sensasi pasukan itu, Arif Aiman Mohd Hanapi, yang sebelum ini dikaitan dengan beberapa pasukan luar negara.

Menurut Tunku Ismail, setakat ini tiada tawaran diterima daripada mana-mana pasukan dan kelab itu tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Arif Aiman beraksi di luar negara.

"Buat masa ini, kami tidak ada terima mana-mana tawaran tetapi tanggungjawab saya sebagai pemilik kelab adalah jelas, iaitu saya bertanggungjawab dengan nilai komersial kelab dan kejayaan kelab di dalam padang.

"Kalau ada siapa-siapa nak, bagi duit tawaran yang boleh memberi JDT manfaat daripada pendapatan tersebut. Kelab kami bukan penjara, sesiapa sahaja boleh keluar dari sini," katanya dalam satu video yang disiarkan di laman Facebook, Johor Southern Tigers, hari ini.

Sebelum ini, Arif Aiman dilaporkan sedang diintai beberapa kelab dari Jepun dan Korea Selatan selepas mereka terpikat dengan bakat pemain berusia 20 tahun itu.

Kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol, dikatakan antara kelab yang berminat untuk merekrut Arif Aiman, yang kini sudah meledak empat gol dan empat bantuan gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Kredit: Sinar Harian