Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad, menegaskan fokusnya kini hanya untuk membantu skuad Harimau Selatan itu menamatkan baki saingan Liga Super musim ini biarpun khidmatnya ditagih Perak FC musim depan.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, dia masih belum menerima sebarang tawaran atau dihubungi secara rasmi oleh pihak pengurusan Perak FC berhubung perkara berkenaan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu dalam media sosial baru-baru ini.

Justeru, tiada sebarang komen lanjut yang boleh diberikannya berhubung perkara berkenaan kerana mahu memberikan sepenuh perhatian bagi membantu JDT menamatkan baki saingan Liga Super musim ini.

“Alhamdulillah, saya masih lagi ramai peminat... apa pun buat masa sekarang mungkin atas media sosial sahajalah dan saya pun tak ada jawapan untuk (perkara) itu.

“Lagipun, sekarang masih dalam liga untuk musim ini dan oleh itu, fokus saya adalah untuk pasukan JDT,” katanya sebaik tamat aksi berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.

Minggu lalu, pengendali Perak FC, Lim Teong Kim, tanpa berselindung mendedahkan dia berminat membawa Syafiq untuk beraksi bersama skuad kendaliannya itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sementara itu, Syafiq mengakui gembira dapat menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan 4-1 JDT ke atas KDA FC.

“Alhamdulillah, syukur dapat bantu kemenangan pasukan dengan menjaringkan gol. Sebagai pemain, apabila diberikan peluang bermain, ia macam (dapat) emas, jadi kena buktikan sesuatu dan tunjukkan keputusan jurulatih untuk menurunkan kita adalah tepat.

“Lagipun, sebagai penyerang, memang menjadi tugas saya untuk menjaringkan gol... sebelum ini Arif Aiman pun pernah jaringkan hatrik dan ini buktikan kita tidak ketandusan penyerang tempatan.

“Secara keseluruhan di JDT ni, tak kisahlah sebagai pemain tempatan, pemain naturalisasi, pemain import, semuanya boleh menjaringkan gol,” ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian