Penyerang Selangor, Faisal Halim, layak dilabel pejuang sejati apabila mampu bangkit walaupun berdepan trauma selepas menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, berkata bukan mudah untuk melalui situasi dilalui Faisal, atau lebih dikenali Mickey, namun pemain skuad negara itu menunjukkan semangat luar biasa untuk terus bermain.

Malah, kata Irfan, kembalinya pemain berusia 26 tahun itu di padang selepas tiga bulan daripada mengalami kelecuran teruk, seharusnya menjadi contoh kepada pemain lain.

Sebelum ini, doktor menjangkakan Faisal perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan, namun pemain lincah bertubuh kecil itu mengejutkan ramai apabila sudah mampu beraksi selepas kira-kira tiga bulan daripada tarikh insiden itu.

“Saya melihat semangat luar biasa dimiliki Faisal dan dia merupakan contoh terbaik kecekalan kepada pemain lain. Dia berusaha untuk kembali bangkit walaupun apa yang dia lalui sukar digambarkan.

“Apabila kita tengok dia dapat kembali bermain atas padang, nampak dia sangat puas dan dapat melepaskan rasa geram untuk beraksi. Malah dari raut wajahnya, seolah-olah tidak nampak langsung dia masih terkesan dengan kejadian itu.

“Namun, dalam masa sama, saya mengharapkan dia supaya berhati-hati dan sentiasa mengikut nasihat doktor dalam memastikan kecederaan yang dihadapinya itu benar-benar pulih,” katanya.

Faisal, yang sebelum ini mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali, diturunkan Selangor sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim dan Sabah.

Dalam pada itu, Irfan Bakti percaya Faisal mampu untuk kembali berada di tahap terbaiknya, namun perlu diberikan masa dan ruang yang cukup.

“Faisal ini antara pemain terbaik dalam industri bola sepak kita. Saya yakin dia akan berusaha untuk berada pada tahap seperti sebelum ini tetapi ia sangat berkait dengan masa.

“Dengan sokongan kuat daripada pasukan dan orang sekelilingnya, sudah tentu dia akan mampu kembali menggegarkan bola sepak negara. Peluang untuknya beraksi seperti diberikan Selangor sekitar 10 minit dalam setiap perlawanan juga banyak membantu,” katanya lagi.

--Sinar Harian