Kejayaan Selangor FC menewaskan Negeri Sembilan FC 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi disifatkan sebagai persembahan terbaik The Red Giants.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe, berkata tiga mata diraih pemainnya di laman keramat skuad kendalian K. Devan itu juga diterjemahkan menerusi penguasaan pasukan pelawat sebahagian besar permainan.

Malah, jelas bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berasakan pemainnya juga mencipta banyak peluang yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

"Sejujurnya, ini persembahan terbaik pasukan Selangor dalam perlawanan liga musim ini daripada segi konsentrasi dan persembahan biarpun pada awalnya saya akui terdapat kebimbangan Negeri Sembilan akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang 'set pieces' yang mampu menghasilkan gol.

"Saya gembira apabila tumpuan pemain Selangor tidak terjejas sebaliknya kekal fokus. Ia bukan satu perlawanan yang mudah berikutan tentangan sengit Negeri Sembilan," katanya.

Angkatan Cheng Hoe mengukuhkan kedudukan dalam kelompok dua terbaik Liga Super selepas membelasah Negeri Sembilan FC.

Pasukan pelawat memulakan pesta gol dengan jaringan Richmond Boakye Yiadom pada minit ke-27 untuk memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Selangor menggandakan serangan bertali arus ke kawasan kubu skuad Hoben Jang Hoben dan hasilnya, penjaring terbanyak Selangor, Ayron Del Valle, tidak ketinggalan melebarkan kedudukan pasukan pelawat dengan gol kedua pada minit ke-59.

Gol itu ternyata memotivasikan jentera serangan Gergasi Merah untuk terus melebarkan jaringan menerusi Yohandry Orozco pada minit ke-75 sebelum Harith Haiqal Adm Afkar melengkapkan malam pesta jaringan itu pada minit ke-83.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor memperkukuhkan cengkaman kedua terbaik liga dengan 46 mata setelah melakarkan 15 kemenangan, satu seri dan lima tewas selepas mengharungi 21 perlawanan.

Negeri Sembilan pula kekal di kedudukan sembilan dengan 21 mata selepas meraih empat kemenangan, sembilan seri dan tujuh tewas.

Kredit: Sinar Harian