Kemenangan 6-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi nyata menggembirakan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, yang menyifatkan skuad kendaliannya beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan.

Menurutnya, biarpun masih kepenatan setelah mengikat Shanghai Port 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), di Stadium Pudong Rabu lalu, pemain yang diturunkan masih mampu beraksi dengan baik, sekali gus meraih kemenangan.

“Saya akui pemain masih kepenatan tetapi kesemuanya beraksi dengan baik malam ini walaupun agak sukar untuk menembusi pertahanan lawan pada awal permainan.

“Bagaimanapun, mereka berjaya merobek gawang lawan di penghujung separuh masa pertama dan separuh masa kedua pemain telah berjaya mengawal bola sepenuhnya.

“Bagi saya ia sesuatu yang baik dan gembira dengan aksi dipamerkan pemain dalam perlawanan kali ini,” katanya.

Biarpun bermula garang pada perlawanan berkenaan, JDT perlu menunggu hingga minit ke-42 bagi membuka jaringan menerusi Bergson Da Silva yang kemudiannya menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-44 dan min-71.

Dua gol lagi dijaringkan oleh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-55 dan 58, sementara pemain KDN FC, Umeir Aznan, menjaringkan gol sendiri pada minit ke-75.




Bagaimanapun, penyerang import dari Palestin, Latyh Kharoub, berjaya merobek gawang skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-65 untuk gol saguhati pelawat.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami pemain pertahanan, Syahmi Safari, Bidoglio berkata, pemain berkenaan dijangka memerlukan tiga bulan sekurang-kurangnya untuk pulih setelah mengalami kecederaan ketika berdepan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, minggu lalu.

Bagaimanapun, Bidoglio berkata dia mahu menyaksikan Syahmi untuk segera pulih dan kembali beraksi.


Kredit: Sinar Harian