Hasrat penyokong Sabah untuk menyaksikan kemunculan semula Brendan Gan bersama negeri di bawah bayu itu musim ini tampak tidak kesampaian.

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan pihaknya tidak merancang untuk berbelanja menandatangani mana-mana pemain termasuk pemain import setakat ini.

Brendan yang juga jeneral tengah Harimau Malaya dikaitkan ke Sabah setelah diumumkan tidak kekal bersama Selangor.

Selain Sabah, Sri Pahang juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain kacukan Australia-Malaysia ini, namun difahamkan kedua-dua pihak belum mencapai kata putus.

Sementara itu, Kim Swee turut berkongsi mengenai harapannya terhadap Stuart Wilkin, Darren Lok, Dominic Tan dan Daniel Ting yang baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan di Piala Asia Qatar baru-baru ini.