Penyerang Inter Milan, Yann Karamoh, mengakui terkejut ketika dipilih untuk beraksi berdepan Bologna dan sangat gembira dapat menjaringkan gol pertamanya dalam Serie A.

Pemain muda Perancis itu menyertai Inter dari Caen melalui pinjaman pada awal musim 2017/18, namun
perlu menunggu untuk meraih peluang melakukan penampilan pertama.

Selepas empat kali dibawa masuk sebagai pemain gantian, Karamoh dinamakan dalam kesebelasan
utama bagi aksi di San Siro awal pagi tadi, sebelum rembatan kaki kirinya memberikan kemenangan
2-1 buat pasukannya.

Kemenangan itu juga membolehkan Inter menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan
dalam aksi liga, musim ini.

"Ia adalah gol penting, jaringan pertama saya di Itali dan ia hadir dalam situasi yang sangat penting.

"Seperti pemain lain di seluruh dunia, saya mahu beraksi tetapi menyerahkan segalanya kepada
pengurus.

"Beraksi dalam kesebelasan utama adalah kejutan buat saya. Pengurus (Luciano Spalletti) meminta saya
dan rakan sepasukan menggunakan kepantasan yang ada pada diri saya," kata Karamoh.

"Amat penting buat pasukan untuk kembali ke landasan kemenangan kerana kami mempunyai satu
objektif utama, iaitu kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah.

"Rakan sepasukan mengucapkan tahniah kepada saya di atas jaringan itu dan saya mendedikasikannya
buat ibu dan seluruh pasukan," tambahnya.

"Karamoh menjaringkan gol hebat dengan kaki kiri. Dia memiliki kepantasan yang hebat dan masih
banyak ruang untuknya terus meningkat.

"Sangat penting buat pasukan memiliki pemain berkualiti sepertinya," ujar Spalletti.