Bintang tengah England dan Real Madrid, Jude Bellingham memenangi anugerah 'Golden Boy 2023' yang diberikan kepada pemain terbaik bawah-21 tahun yang beraksi dalam liga utama di Eropah.

Sementara pemain tengah Colombia dan Real Madrid, Linda Caicedo, 18, menang anugerah 'Golden Girl'.

Bellingham, 20, berpindah dari Borussia Dortmund ke Real pada musim panas lalu dan sudah menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan.

Anugerah ini hadir selepas dia diiktiraf selaku pemain terbaik bawah-21 tahun di dunia pada majlis anugerah Ballon d'Or, Oktober lalu.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada kembara saya setakat ini di Birmingham, Dortmund dan kini Madrid. Ia tidak mungkin berhasil tanpa mereka," katanya.

"Akhir sekali dan paling penting, keluarga yang memberikan saya sokongan dan motivasi serta kasih sayang setiap masa untuk terus mengecapi kejayaan.

"Dengan anugerah ini saya mahu terus ke hadapan. Saya mahu terus mengejar hingga ke batasan potensi saya dan mengharapkan lebih banyak trofi akan hadir selepas ini."

Bellingham merupakan pemain Inggeris pertama menang anugerah ini selepas Raheem Sterling pada 2014, ketika pemain sayap Chelsea itu beraksi untuk Liverpool.

Antara pemenang lain anugerah ialah Wayne Rooney, Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Erling Haaland.