Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super dan mara separuh akhir Piala FA 2024/2025, Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi kelab terakhir melancarkan jersi rasmi musim ini.

Kit jersi tersebut dilancarkan di semua platform media digital KDA FC pada malam tadi dan mendapat reaksi positif daripada penyokong setia mereka setelah menunggu sekian lama.

Pemilik saham majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata setelah lama menunggu dan berjuang dengan air mata dan jerih lelah, jersi pertama dan kedua Sang Kenari akhirnya siap.

Menurutnya, pengurusan KDA FC menghargai kesabaran semua pihak terutamanya pemain dan pasukan kejurulatihan.

"Kami mengharapkan jersi musim ini cantik, elegan dan memberi rasa kecintaan dan kebanggaan kepada pasukan kita terutama kepada negeri kesayangan kita, Kedah Darul Aman.

"Kita masih merangkak sedangkan pasukan lain sudah berlari. Ayuh, jangan pandang ke belakang. Langkah kaki ke hadapan untuk membina kejayaan dan ketinggian dalam serba kekurangan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Jelasnya, sokongan, galakan dan doa semua penyokong Sang Kenari sepanjang masa adalah sumber inspirasi kelab tersebut.




Menurutnya, Sang Kenari akan terus berusaha walaupun patah sayap bertongkat paruh untuk menarik penaja bagi memastikan kestabilan kewangan kelab.

"Kami amat gembira dapat mempersembahkan kepada anda jersi baru kita yang mungkin tak seberapanya ini.

"Sarunglah jersi ini dengan perasaan halus dan telus sebagai anak Kedah yang sayangkan segala-galanya tentang Kedah Darul Aman," ujarnya lagi.

Jersi 'home' KDA FC yang baru dilancarkan menampilkan warna hijau dan kuning manakala jersi 'away' pula berwarna hijau yang disulami sedikit warna merah.

Bagi jersi penjaga gol pula menampilkan tiga warna iaitu ungu, biru dan hitam.

Dalam pada itu, satu sidang media juga akan diadakan untuk mengumumkan penaja, rakan rasmi, rakan strategik dan rakan perniagaan musim 2024/2025 di Stadium Darul Aman, petang ini.


Kredit: Sinar Harian