Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) diharap tidak hanya pandai menabur janji dan menjaga padang jenis Hibrid yang dikurniakan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, kepada Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan baik.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, isu kerosakan padang yang sentiasa berulang bukan kerana masalah jenis rumput yang ditanam sebaliknya kepincangan pengurusan stadium menjaga padang itu.

Menurutnya, PSM perlu lebih profesional dan menjaga padang tersebut dengan baik selepas sekian lama isu rumput di stadium Nasional, Bukit Jalil mencemarkan imej negara.

"Saya tidak melihat masalah rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah salah jenis rumput yang ditanam. Sebaliknya ia adalah silap pengurusan stadium.

"Contohnya saya ambil rumput jenis Zeon Zoysia yang ditanam sebelum ini. Selepas mula ditanam memang ada masalah pada kejohanan Pestabola Merdeka apabila rumput tertanggal.

"Namun, selepas itu rumput tersebut dipuji ketika Malaysia menentang Kyrgyzstan (Kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia) kerana rumput berada dalam keadaan elok akibat tidak diganggu langsung," katanya kepada Sukan Sinar.

Bagaimanapun, beliau berkata, rumput tersebut rosak semula ketika perlawanan akhir Piala Malaysia pada Disember kerana sebelum itu PSM membenarkan konsert Coldplay diadakan.

“Pada Mac pula ketika perlawanan Malaysia menentang Oman, rumput tidak seperti diharapkan selepas satu lagi konsert Ed Sheeran dilangsungkan kira-kira sebulan sebelum perlawanan. - Sinar Harian