Pemain sayap Manchester United, Jadon Sancho, dilaporkan mahukan peluang untuk kembali ke Borussia Dortmund Januari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu telah diketepikan dairpada skuad utama Man United berikutan mengkritik secara terbuka serta memiliki perselisihan faham dengan pengurus, Erik ten Hag.

Pengendali Man United itu telah mengetepikan Sancho daripada pasukan sejak kekalahan kepada Arsenal bulan atas persembahan yang kurang memberangsangkan dalam sesi latihan, sebelum pemain itu membalas menerusi media sosial menyatakan dirinya sentiasa menjadi 'kambing hitam' untuk tempoh yang agak lama.

Walaupun Sancho telah memadamnya, dia telah didakwa enggan memohon maaf kepada Ten Hag.

Atas keputusan itu, pemain kebangsaan England itu tidak dibenarkan berada di fasiliti pasukan utama di Carrington.

Ten Hag turut tidak berminat untuk mengalah atas situasi ini, manakala Sancho kekal enggan memberikan permohonan maaf walaupun telah digesa rakan sepasukan.

Dengan keadaan yang menemui jalan buntu, laporan baru-baru ini mendakwa Sancho dijangka meninggalkan Red Devils pada jendela perpindahan Januari.

Menurut 90min, Sancho berharap untuk melengkapkan perpindahan kembali ke Dortmund, di mana dia menghabiskan empat tahun sebelum menyertai Man United pada 2021.

Laporan itu mendakwa bahawa beberapa kelab Jerman menunjukkan minat, tetapi Sancho mengutamakan kembali ke Dortmund.

Dortmund juga dipercayai berminat untuk berpindah, dan terdapat kemungkinan perjanjian boleh dicapai sebelum jendela perpindahan Januari jika situasi Sancho di Man United gagal bertambah baik.

Ketika bersama kelab Jerman itu, Sancho menjaringkan 50 gol dan memberikan 64 assist dalam 137 penampilan di semua pertandingan.