Erik ten Hag yakin Antony masih boleh menyerlah bersama Manchester United selepas dua musim pertama yang suramnya di Old Trafford.

Antony menyertai United daripada Ajax dengan tanda harga €100 juta (RM509.89 juta) pada 2022 untuk kembali di bawah bimbingan Ten Hag.

Dia kemudian bergelut untuk membutikan kemampuannya sejak tiba di England, di mana dia hanya dapat menghasilkan lima gol dan tiga bantuan jaringan daripada 54 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ten Hag, bagaimanapun, kekal menafikan dakwaan bahawa United mengeluarkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya untuk mendatangkan pemain itu, yang amat dikenalinya sewaktu dalam saingan Eredivisie.

Pengurus berbangsa Belanda itu juga yakin pemain kebangsaan Brazil berkenaan akan menyerlah dalam musim ketiganya bersama The Red Devils.

Bercakap kepada AD Sportwereld, Ten Hag berkata mengenai proses menandatangani Antony: "Saya tidak berbelanja melebihi bajet. Saya langsung tidak pernah ada bajet.

"Di United, bajet terpulang kepada pemilik dan pihak pengurusan.

"Dia memang menunjukkan potensinya sepanjang bulan pertama, dia menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan.

"Selepas itu, ia menjadi semakin sukar. Musim lalu, ia tidak bagus tetapi saya masih yakin yang dia memiliki potensi untuk menyerlah di kelab ini," katanya.