INTER MILAN 1 TORINO 0

Simone Inzaghi memuji barisan pemain Inter kerana prestasi cemerlang mereka sepanjang separuh pertama Serie A musim ini sambil berkata mereka tidak dijangka akan dapat mempertahankan Scudetto yang dimenangi musim lalu.

Inter merupakan pasukan pilihan untuk memenangi Serie A musim ini menjelang separuh kedua kempen berkenaan dengan menduduki tangga teratas selepas 19 perlawanan.

Dengan menewaskan Torino 1-0 awal pagi tadi, Nerazzurri kini berkelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, AC Milan.

Tetapi pasukan juara bertahan itu berdepan ujian berat menjelang awal musim ini, di mana mereka kehilangan ketua jurulatih, Antonio Conte, selain deretan pemain bintang seperti Romelu Lukaku, Achraf Hakimi dan masalah kesihatan Christian Eriksen.

Ia menyaksikan ramai beranggapan pasukan juara bertahan itu tidak akan dapat mempertahankan gelaran mereka tetapi menjelang penghujung 2021, Inter telah menjaringkan 104 gol (rekod terbanyak sejak 120 yang dihasilkan Milan pada 1950) dan memenangi 32 perlawanan (rekod tertinggi di belakang 33 yang dilakukan Juventus pada 2016) dalam Serie A.

Aksi menentang Torino kali ini dimenangi dengan jaringan tunggal Denzel Dumfries pada minit ke-30. Ia bukanlah aksi terbaik Inter tetapi mereka kini merekodkan enam kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi sebarang gol buat kali pertama sepanjang sejarah Serie A.

Inzaghi, yang meninggalkan Lazio untuk menyertai Inter pada penghujung musim lalu, berkata dalam sidang media: "Saya secara langsung terus mendapat keyakinan sebaik saya menyertai dan bertemu pasukan ini.

"Kini, amat mudah untuk setiap orang melihat bahawa Inter merupakan pasukan yang hebat dan menjadi pilihan tetapi saya masih ingat apa yang diperkatakan mereka pada Julai lalu.

"Pemain kami dalam keadaan baik tetapi bagi kami, keputusan ini perlu menjadi motivasi untuk terus berusaha kerana perjalanan yang penuh berliku sedang menanti kami," katanya.