Cristiano Ronaldo berkata bahawa dirinya tidak pernah berubah susulan amukannya selepas jaringan kemenangan dramatik kapten Portugal itu dibatalkan pengadil dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Serbia awal pagi tadi.

Ronaldo yakin jaringan yang dilakukannya itu sudah melepasi garisan gol tetapi pengadil berfikiran berbeza untuk Serbia, yang beraksi dengan 10 orang pemain, mengikat kedudukan 2-2.

Stefan Mitrovic mengeluarkan bola daripada garisan gol sebanyak dua kali berturut-turut dalam waktu kecederaan tetapi Ronaldo amat yakin bahawa percubaan yang dilakukannya itu sudahpun melepasi garisan berkenaan, di mana tiada video bantuan pengadil (VAR) ditempatkan dalam perlawanan di Belgrade itu.

Ronaldo dilayangkan kad kuning kerana protesnya dan pemain bintang itu kelihatan amat berang dan mencampakkan lilitan lengannya ke lantai sebelum meninggalkan padang biarpun perlawanan masih berbaki beberapa saat.

Tidak lama selepas itu, Ronaldo menggunakan Instagram dan platform media sosialnya untuk menjelaskan mengenai insiden kontroversi perlawanan Kumpulan A itu.

"Menjadi kapten pasukan Portugal adalah kebanggaan dan maruah terbesar dalam hidup saya. Saya sentiasa akan memberikan segala-galanya buat negara saya dan ia tidak pernah berubah.

"Tetapi ada perkara yang amat sukar untuk dihadapi, terutama apabila kami berasakan seperti seluruh negara ini telah dihukum.

"Dongakkan kepala anda dan hadapi cabaran yang akan datang! Ayuh Portugal!"

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)


Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, mendedahkan bahawa pengadil perlawanan itu, Danny Makkelie, berasa malu dan memohon maaf atas insiden itu.

"Pengadil itu memohon maaf kepada saya dan memberitahu saya bahawa dia berasa malu," kata Santos dalam sidang media.

"Saya berada dalam bilik persalinan bersamanya dan dia memohon maaf kepada saya. Dia memberitahu saya bahawa dia melakukan semakan imej di atas padang dan dia datang kepada saya untuk memohon maaf... begitulah.

"Ia merupakan kali kedua di peringkat kelayakan mereka memohon maaf selepas tamat perlawanan. Saya memberitahunya bahawa ia merupakan satu ujian di atas padang ketika tiada VAR dan teknologi garisan gol.

"Secara kebetulan, salah satu perkara yang dia katakan kepada saya ialah kepentingan teknologi garisan gol tetapi saya memberitahunya bahawa bola sudah berada setengah meter di dalam gawang. Tiada halangan di antara penjaga gawang dan garisan gol.

"Kita perlu memikirkannya semula. Pengadil juga insan biasa dan melakukan kesilapan tetapi disebabkan itu kita memerlukan VAR dan teknologi garisan gol untuk mengelakkan perkara seperti ini," katanya.