Manchester United mempunyai satu masalah yang teramat besar.

Masalah ini jauh lebih parah berbanding kesilapan demi kesilapan penjaga gol mereka, Andre Onana, yang ‘menghadiahkan’ dua gol untuk Galatasaray dalam perlawanan yang berkesudahan 3-3 awal pagi semalam.

Masalah yang dimaksudkan adalah budaya huru-hara yang menyelubungi perjuangan mereka di pentas Eropah -- budaya yang menjadikan mereka sukar diramalkan, tidak konsisten dan paling utama sekali, tidak boleh diharapkan.

Wartawan The Guardian, Barney Ronay, mengibaratkan persembahan United dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini sebagai sebuah kapal yang dikendalikan oleh orang mabuk – satu pasukan yang menggabungkan persembahan berkelas tinggi dengan detik-detik kecemerkapan penuh memalukan secara sama rata.

Ini adalah pasukan yang kini gagal menguasai takdir mereka kerana kelayakan ke peringkat seterusnya tidak lagi berada dalam kawalan sendiri, malah lebih tepat lagi dikatakan pasukan yang gagal mengawal apa-apa sekalipun.

Biarpun memulakan perlawanan dengan penuh bergaya menerusi gol-gol cantik pemain sayap penuh berbakat, Alejandro Garnacho, dan kapten pasukan, Bruno Fernandes, kesilapan demi kesilapan menyusul kemudiannya sehinggakan United sekadar pulang dengan meraih satu mata.

Berulang-ulang kali rakaman video jaringan Hakim Ziyech menerusi dua sepakan percuma dimainkan, setiap kalinya semakin hairan dibuatnya bertanyakan bagaimana kedua-dua sepakan tersebut mampu menerjah jaring.



Tugas penjaga gol adalah untuk menghalang bola, bukannya melompat untuk mengelak bola – tetapi itulah yang Onana lakukan, bukan sekadar dalam perlawanan pagi semalam tetapi juga berkali-kali sebelum ini.

Ini adalah penjaga gol yang dibeli dengan harga tinggi demi memperkuatkan pasukan tetapi perkara sebaliknya yang terjadi.

Sepertimana yang berlaku dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, sebaik sahaja pasukan lawan mula mengejar, budaya huru-hara yang disebut tadi mula menyerap ke dalam diri satu demi satu pemain United sehinggakan apabila gol penyamaan Galatasaray dijaringkan oleh Kerem Akturkoglu, tiada sesiapa yang terkejut, ini semua sudah dijangka berlaku.

Pengurus United, Erik Ten Hag, enggan mempersalahkan Onana, sebaliknya mengatakan keputusan ini adalah berpunca dari pasukan secara keseluruhan dan mereka harus belajar daripada kesilapan – sesuatu yang sudah jemu didengar oleh kesemua penyokong.

Mungkin sudah tiba masanya Ten Hag sedar budaya huru-hara ini adalah hasil ciptaannya sendiri.

Disebabkan budaya inilah United merupakan pasukan yang paling seronok untuk ditonton, juga yang paling mengecewakan.



Pasukan yang paling banyak menjaringkan gol, juga yang paling banyak dibolosi.

Akhir sekali, pasukan yang berjaya mengharungi ‘neraka’ di Istanbul, juga pasukan yang harapannya dalam Liga UCL bagaikan telur di hujung tanduk.