Gary Lineker tidak yakin bahawa Rasmus Hojlund mampu menandingi jangkaan dengan tanda harganya selepas pemain antarabangsa Denmark itu melengkapkan perpindahan GBP72 juta ke Manchester United.

Hojlund telah menyertai Red Devils dari Atalanta, akhirnya menamatkan pencarian penyerang selama musim panas ini. Pengendali pasukan, Erik ten Hag berharap pemain Denmark itu boleh menjadi penyelesaian kepada masalah United di hadapan, dengan pengendali kelahiran Belanda itu terpaksa membawa masuk Wout Weghorst secara pinjaman pada Januari.

Tetapi Lineker mempunyai keraguan bahawa United akan mendapatkan nilai wang mereka daripada Hojlund musim ini. Walaupun dia percaya penambahan lain Ten Hag seperti Andre Onana dan Mason Mount akan berjaya, dia mempersoalkan keputusan untuk membawa masuk pemain yang tidak pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

"Saya sangat tidak sabar untuk melihat penjaga gol baharu Manchester United, Andre Onana. Pemain Cameroon itu, dari Inter Milan, sangat bagus melakukan hantaran serta kawalan bola dan saya berminat untuk melihat bagaimana ia mengubah cara pasukan Erik ten Hag akan memulakan permainan di barisan pertahanan," katanya kepada The Sun.

"Kekuatan terbesar Onana adalah kelemahan sebenar David de Gea. Sudah tentu, Onana akan membuat beberapa kesilapan namun penjaga gol mampu meningkatkan kemampuan mereka di saat-saat penting dalam perlawanan.

"Mason Mount adalah seorang lagi pemain yang bagus. Dia pemain yang kurang mendapat penilaian kerana banyak perkara yang dia lakukan berada di bawah radar -- dia memberikana tekanan dengan baik dan bekerja keras.

"United telah membelanjakan banyak wang untuk penyerang Denmark berusia 20 tahun Rasmus Hojlund dari Atalanta dan saya tidak boleh mengatakan saya telah melihat kualiti dia dengan lebih terperinci. Mungkin mereka melihat dia lebih sebagai seorang untuk jangka panjang tetapi saya tidak yakin dia akan membuat perubahan untuk mereka."