EXCO Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj, mengambil tanggungjawab penuh selaku pengurus pasukan skuad muda negara B-17 susulan tidak berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia B-17.

Dalam satu kenyataan media hari ini, dia melepaskan jawatannya selepas tidak berjaya membawa skuad muda mengulanya pencapaian sebelum ini apabila layak ke saingan Piala Asia B-17 2023.

"Perjuangan skuad muda negara B-17 menemui jalan noktah ke Piala Asia apabila diikat Laos 2-2 semalam.

"Sehubungan itu, saya selaku Pengurus Pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan sebagai Pengurus Pasukan B-17 serta merta.





"Melepaskan jawatan sebagai Pengurus Pasukan B-17 ini adalah jalan yang terbaik untuk membuka peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia.

"Kita memulakan kempen dengan tunduk kepada Emeriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dan kemudian tewas di tangan tuan rumah, semalam, sekaligus terlepas tiket ke Piala Asia 2025 apabila mengakhiri saingan peringkat kumpulan H dengan satu mata di tangga kedua.

"Kegagalan ini amat pahit untuk ditelan dan amat sedih apatah lagi kita tidak dapat mengulangi kejayaan tahun lalu, yang mana skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023.

"Terima kasih kepada FAM terutama Presiden FAM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin di atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga yang saya perolehi sepanjang saya berkhidmat sebagai Pengurus Pasukan B-17, dibawah bimbingan serta pentadbiran beliau.






"Saya amat menghargai segala peluang yang telah diberikan kepada saya dan pengalaman berkhidmat untuk negara ini adalah sesuatu yang amat membanggakan buat saya yang tidak mungkin akan dapat saya lupakan.

"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada kesemua pemain teutama ibu bapa pemain yang banyak berkorban memberi sokongan sebagai pemain ke-12 di Laos dan juga dalam semua perlawanan-perlawanan Pasukan Kebangsaan B-17 sepanjang saya berkhidmat.

"Terima kasih kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donnel dan juga Pengarah Teknikal NFDP, Oscar Francisco Gonzalez.

"Tidak lupa juga terima kasih buat jurulatih, Javier Jorda Ribera dan kesemua pegawai kejurulatihan B-17 dan semua pihak yang membantu kami.

"Meskipun diakui masih banyak yang perlu pasukan perbaiki tetapi saya yakin muka baharu yang menggantikan tempat saya nanti mampu menjalankan tanggungjawab lebih baik.

"Terima kasih dan Selamat Maju Jaya buat Pasukan Kebangsaan B-17." katanya.