Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri, disambut bak wira oleh ratusan penyokong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi selain mendapat imbuhan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kepulangan Faiz bersama isteri dan dua anak mereka ke Pulau Pinang disambut meriah dengan ratusan penyokong berkumpul dan bersorak sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan anak kelahiran Kedah ini mendapat pengiktirafan tertinggi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Turut hadir menyambut kepulangan Faiz adalah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan ibu-bapa Faiz yang dilihat cukup terharu dengan kejayaan diraih pemain tengah skuad Pulau Mutiara ini.

"Selepas berjaya menjadi pemain Asia pertama memenangi gelaran Anugerah Puskas 2016, saya ingin mengumumkan kerajaan negeri akan menghadiahkan RM50,000," kata Guan Eng.

Dalam pada itu, Faiz yang masih dihujani penghargaan, mahu kembali fokus dalam saingan Liga Malaysia selain berharap kejayaan ini mampu menjadi penyuntik semangat untuk dirinya dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

"Saya akan tumpukan 100 peratus perhatian kepada pasukan Pulau Pinang bagi menghadapi Liga Super 2017.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki saya mahu kembali menyarung jersi skuad negara," ujar Faiz.