England akan bertemu Slovakia dan Belanda akan menghadapi Romania dalam pusingan 16 Euro 2024 selepas Hungary tersingkir dariada kejohanan itu awal pagi tadi.

The Three Lions dan Oranje mengesahkan kelayakan ke pusingan 16 selepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan masing-masing awal pagi semalam tetapi identiti lawan yang akan dihadapi mereka hanya diketahui awal pagi tadi.

Pada awalnya, kedua-dua pasukan gergasi Eropah itu kelihatan akan bertembung sesama sendiri dalam pusingan 16, di mana Belanda, yang menamatkan saingan awal di tempat ketiga Kumpulan D, berpotensi untuk bertemu juara Kumpulan C, England.

Bagaimanapun, kemenangan mengejutkan Georgia ke atas Portugal mengubah pertemuan itu untuk Hungary tersingkir daripada kelompok empat pasukan di tangga ketiga terbaik.

Sepanyol, yang merupakan satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus kemenangan dalam edisi kali ini, akan bertemu Georgia, manakala Portugal pula dijadualkan untuk bertemu Slovenia.

Perlawanan pusingan 16 Euro 2024:
Switzerland lwn Itali
Jerman lwn Denmark
England lwn Slovakia
Sepanyol lwn Georgia
Perancis lwn Belgium
Portugal lwn Slovenia
Romania lwn Belanda
Austria lwn Turkiye