Sekumpulan pemain mula kecewa dengan Erik ten Hag selepas United tewas 0-1 di Newcastle, sempena pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Manchester United tewas buat kali ke-10 musim ini dan pengurus kelahiran Belanda itu mula kehilangan sokongan selepas beberapa pemain kecewa dengan kaedah dan caranya mengendalikan isu Jadon Sancho.

Cengkaman Ten Hag di dalam bilik persalinan Manchester United mula longgar sokongannya berikuta pemain mula mempersoalkan corak permainan yang diterapkannya selain layanannya terhadap Jadon Sancho, menurut ketua wartawan Sky Sports News, Kaveh Solhekol.

"Kami harus menjelaskan bahawa sangat mudah untuk melihat kelab itu mempunyai masalah apabila mereka tertekan.

“Mudah untuk tahu Erik Ten Hag sedang menanggung masalah apabila dia berada dalam situasi ini.

“Sangat mudah melihat dia kehilangan sentuhannya di bilik persalinan dan pemain tidak menuruti arahannya lagi," kata Solhekol.



"Sebilangan besar pemain tidak berpuas hati dengan corak permainannya, mereka juga berasakan bahawa latihan mereka terlalu keras dan mereka terlalu banyak berlari ketika sesi latihan. Saya diberitahu bahawa pemain tidak tahu untuk apa mereka berlari.

"Selain itu, beberapa pemain senior telah bercakap dengan Erik ten Hag tentang kesilapan kelab.

"Mereka telah berunding dengannya apabila bertukar-tukar maklumat mengenai pengalaman mereka ketika pernah di kelab-kelab besar dan mereka berasakan bahawa pengurus itu sepatutnya memahami perasaan mereka."