Pep Guardiola percaya keputusannya untuk mengubah percaturan buruknya dalam separuh masa pertama menjadi kunci Manchester City dapat menewaskan Arsenal 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

City berkunjung ke Stadium Emirates dengan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, tetapi Kevin de Bruyne terlebih dahulu meletakkan mereka di depan pada minit ke-24.

Walaupun Bukayo Saka berhasil menyamakan kedudukan buat Arsenal menerusi sepakan penaltinya sebelum waktu rehat, Jack Grealish dan Erling Haaland kemudian menemui sasaran dalam babak kedua untuk City memperoleh tiga mata berharga dan memintas The Gunners dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Arsenal melakukan tujuh percubaan dalam separuh masa pertama berbanding hanya empat yang dilakukan City sebelum perubahan luar biasa dilakukan pasukan juara bertahan itu dalam separuh masa berikutnya sehingga The Gunners gagal mendaftarkan sebarang percubaan tepat sepanjang tempoh itu.

Giardiola, yang kini memenangi lapan daripada sembilan pertemuan dengan Arteta -- di mana pengurus Arsenal itu pernah bertindak sebagai pembantunya di City dari 2016 hingga 2019 -- berkata perubahan taktikal yang dilakukannya menjadi kunci utama pasukannya dapat beraksi sempurna dalam babak kedua.

"Dalam babak pertama, mereka jauh lebih baik berbanding kami," kata Guardiola kepada Amazon Prime.

"Dalam babak kedua, kami jauh lebih baik.

"Kami tidak bermain, kami hanya bertahan kerana mereka amat bagus.

"Dalam babak pertama, taktikal saya, saya mencuba sesuatu yang baru dan ia amat buruk.

"Kami melakukan perubahan dalam babak kedua dan kami lebih agresif ke atas (Martin) Odegaard dan lebih banyak menguasai bola. Erling menggunakan kekuatannya untuk mengawal bola.

"Kami berdepan kesukaran dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, kami dapat melakukannya, kami jauh lebih agresif, memenangi perebutan bola dan apabila itu berlaku, kami menjadi pasukan yang lebih baik.

"Kami telah dibina untuk menjadi pasukan yang gila," katanya.