Pengendali Manchester United, Erik ten Hag, berkata The Red Devils perlu menunggu selama 24 jam lagi untuk mengetahui tahap kecederaan yang dialami oleh pemain yang baru dibawa masuk musim ini, Leny Yoro dan penyerang sensasi, Rasmus Hojlund.

Kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan dalam separuh masa pertama perlawanan yang menyaksikan United tewas 1-2 kepada Arsenal di Los Angeles, Sabtu lepas.

"Kami perlu menunggu, dalam tempoh 24 jam kami berharap dapat mengetahui lebih banyak maklumat lagi. Jadi kami sangat berhati-hati, terutamanya dengan keadaan Leny.

"Dia hanya melakukan 50% sahaja daripada sesi latihan, jadi ia mengecewakan kerana terpaka dikeluarkan. Tetapi kami tetap positif.




Begitupun, Ten Hag berpuas hati dengan persembahan United secara keseluruhannya dalam aksi perlawanan persahabatan menentang seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

"Perlawanan yang sangat sengit, mereka pada tahap yang baik.

"Kami adalah pasukan yang lebih baik dalam separuh masa pertama, kami menjaringkan gol yang sangat bagus - satu gerakan dan penyudah yang baik. Kami melepaskan satu gol tetapi ia sepatutnya ofsaid." katanya kepada MUTV.