INTER MILAN 1 TORINO 1

Jaringan daripada pemain gantian, Eder, membolehkan Inter Milan meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan Serie A musim ini apabila terikat 1-1 dalam aksi di San Siro, malam tadi.


Skuad kendalian Luciano Spalletti menerima kunjungan Torino berbekalkan momentum positif selepas menewaskan Hellas Verona 2-1 dalam aksi pada minggu lalu, sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua liga dengan 29 mata.

Kapten Inter, Mauro Icardi, hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-24 selepas menerima hantaran dari sebelah kanan daripada Antonio Candreva tetapi pemain Argentina itu gagal menyempurnakan peluang terhidang di depan gol.

Icardi sekali lagi berpeluang meletakkan tuan rumah di depan 12 minit kemudian apabila meledakkan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Salvatore Sirigu.

Bagaimanapun, pertahanan Torino, Lorenzo De Silvestri, sempat menghalang bola daripada melintasi garisan gol bagi mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Torino yang menundukkan Cagliari dalam aksi sebelum ini sebaliknya mendahului pada minit ke-60 apabila Iago Falque mengutip bola daripada De Silvestri sebelum melakukan larian solo dan meledakkan tendangan padu menewaskan Samir Handanovic.

Usaha bertali-arus daripada anak-anak buah Spalletti terus menemui jalan buntu akibat daripada aksi cemerlang Sirigu.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba ketika permainan berbaki 11 minit untuk ditamatkan apabila Eder yang masuk sebagai pemain gantian, bijak menampan bola masuk hasil hantaran lintang Ivan Perisic untuk mengikat kedudukan 1-1 dan kedudukan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Walaupun berjaya mengekalkan rekod bersih, Inter tetap turun satu anak tangga selepas dipintas Juventus yang menewaskan Benevento 2-1 di Stadium Allianz.