Pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh, gusar kondisi pemain yang berhadapan masalah kesihatan menjelang aksi dengan Penang FC malam ini.

Antara empat hingga lima pemain utama tidak cergas disebabkan demam dan masalah kepenatan dan ini dilihat mampu merencatkan usaha pahang untuk meraih tiga mata di Pulau Mutiara.

Empat aksi tanpa tewas, Dollah mengakui sukar untuk dia memastikan barisannya kekal konsisten daripada segi kecergasan.

Ini berikutan kepenatan pemain yang ketara selepas melewati empat perlawanan menerusi jadual yang padat.

Kevin Ingreso dan Shahrul Nizam Nadzir tiada dalam perancangan bagi aksi menentang Penang FC ekoran masalah kesihatan selain pemain import, Manuel Hidalgo, dan Andres Rodriguez hanya tiba di Pulau Pinang semalam.

"Empat perlawanan tanpa henti menghadirkan kerisauan buat staf kejurulatihan. Kami dapat melihat ramai pemain yang keletihan dan menghadapi masalah kesihatan," kata Dollah.

"Ia mendatangkan kebimbangan untuk bertemu Penang FC, bagaimanapun kami tetap mahu memastikan kemenangan."

Tambah Dollah, dia bersedia dengan setiap perancangan yang dilakukan rakan baiknya, Datuk Zainal Abidin Hassan namun rekod tanpa kalah yang dipegang sejak empat perlawanan lalu menjadi elemen penting untuk Sri Pahang FC tidak pulang dengan tangan kosong.

"Sudah pasti Zainal, sahabat saya inginkan keputusan positif buat Penang tetapi saya percaya pemain Sri Pahang memiliki semangat untuk memastikan kemenangan buat pasukan," katanya lagi.