Perjalanan pergi balik sejauh 8,000 batu berakhir perit buat Golden Lion apabila dibelasah Lille 12-0 dalam aksi Coupe de France awal pagi tadi.

Juara Martinique itu, salah satu daripada beberapa pasukan dari wilayah luar negara yang layak bermain dalam pertandingan itu, dibelasah teruk dengan Jonathan David dan Edon Zhegrova, masing-masing menjaringkan hatrik.

Dalam pada itu, kelab divisyen tiga, Sochaux, melakar kemenangan mengejut 2-1 ke atas pasukan Ligue 1, Lorient, hasil jaringan penalti masa kecederaan Issouf Macalou.

Nice pula memerlukan penentuan penalti untuk menyingkirkan pasukan divisyen dua, Auxerre, selepas seri tanpa jaringan manakala Brest pula mengetepikan Angers dan Montpellier serta Strasbourg meraih kemenangan ke atas lawan dari divisyen lebih bawah.