CORINTHIANS 0 BOCA JUNIORS 0

Boca Juniors meraih bekalan penting ketika pertemuan pertama menentang Corinthians dalam pusingan 16 Copa Libertadores apabila bertahan untuk seri 0-0 di Sao Paulo, pagi tadi.


Corinthians mendominasi aksi di tempat sendiri itu tetapi gagal memanfaatkan segala peluang terhidang, malah Roger Guedes gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menuju waktu rehat.

Ia sepatutnya menjadi pendahuluan yang wajar buat pasukan yang diberi jolokan Timao itu selepas permulaan positif sepanjang 45 minit, tetapi dinafikan ketangkasan Agustin Rossi yang menepis rembatan Guedes pada minit ke-43.

Peluang terbaik pasukan tuan rumah dalam permainan terbuka adalah menerusi Giuliano yang mengutip umpanan Willian yang menyusup ke dalam kotak penalti pada minit ke-46, tetapi Marcos Rojo bergegas untuk mematahkan gerakan berbahaya itu.

Tatkala Exequiel Zeballos dan Dario Benedetto bergelut untuk memberikan impak, perlawanan timbal balik di Buenos Aires tetap positif buat Boca untuk cuba menyekat Corinthians selepas gagal melakukannya dalam dua perlawanan Kumpulan E sebelum ini.