Pemerhati bola sepak negara, Jalil Ramli, menganggap jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, sesuai menyandang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas melihat kepada situasi semasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Katanya, Cheng Hoe harus menjadi pilihan untuk membimbing skuad negara andai FAM berhadapan dengan kekangan kewangan semasa.

Kenyataan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam mengenai akaun FAM ternyata mengejutkan ramai pihak.

Ditambah dengan ketidaksediaan Mario Gomez menerima jawatan ketua jurulatih dengan membabitkan tuntutan gaji lebih tinggi seolah-olah membawa maksud FAM perlu mencari alternatif lain yang lebih relevan.

Jalil melihat FAM memiliki cabang lain yang sesuai dengan situasi semasa kewangan badan induk itu.

"Dalam keadaan sekarang, amat wajar sebab kalau lihat dan berdasarkan apa yang diperkatakan Tunku Ismail, FAM tidak mempunyai wang yang banyak," katanya.

"Kalau dalam keadaan sedemikian, paling wajar Cheng Hoe mengambil alih secara sementara sebagai jurulatih kebangsaan."

Kredibiliti Cheng Hoe bukan calang-calang, malah pengendali itu juga dilabel individu penting di sebalik tabir kejayaan negara dalam Sukan SEA 2009 dan membawa Malaysia muncul juara dalam Piala AFF 2010.

"Tak salah kalau kita letak Cheng Hoe terus jadi jurulatih kebangsaan," tambahnya. "Dia antara calon jurulatih tempatan yang mendapat perhatian Tunku Ismail."

"Pada saya, Cheng Hoe seorang jurulatih yang muda dan menunjukkan falsafah bola sepak yang menarik seperti ditunjukkannya di Kedah."