Bekas pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas, memulakan karier kejurulatihannya apabila dilantik sebagai pengendali interim kelab Serie B, Como, selepas pemergian ketua jurulatih, Moreno Longo.

Fabregas, yang pernah mewakili Arsenal, Barcelona, Chelsea, Monaco dan Como di peringkat kelab, terlebih dahulu dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kelab Itali itu.

Mirwan Suwarso, wakil kepada kumpulan pemilik Como, berkata dalam satu ciapan X kelab itu: "Kami mengucapkan terima kasi kepada Moreno Longo, atas segala usaha keras dan dedikasinya, terutama selepas tiba di sini sewaktu masa sukar kami musim lalu.

"Bagaimanapun, kami memilih untuk melalui haluan berbeza yang diharapkan dapat memberikan lebih keterujaan dan hiburan buat penyokong Como selepas ini.

"Kami berharap akan dapat melantik ketua jurulatih baru dalam masa terdekat. Kami juga berterima kasih kepada penyokong atas kesabaran dan kesetiaan tidak berbelah bahagi menyokong kami.

"Seperti biasa, Forza Como."

Como kini berada di tangga keenam liga divisyen kedua itu dan akan bertemu pasukan di tangga tercorot, Feralpisalo, pada 25 November ini.