Edinson Cavani mengumumkan persaraannya daripada peringkat antarabangsa, sekali gus tidak akan mewakili Uruguay dalam saingan Copa America bulan depan.

Pemain berusia 37 tahun itu merupakan pemegang rekod penampilan kedua terbanyak Uruguay dengan 136 penampilan selain merupakan penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman negara itu (58 gol) di belakang Luis Suarez.

Bagaimanapun, penyerang itu tidak pernah mewakili Uruguay sejak Piala Dunia Qatar 2022, di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Dalam satu kiriman media sosial, dia berkata: "Kepada Celeste kesayangan saya, saya mahu berterima kasih atas setiap pengajaran yang anda berikan kepada saya sepanjang proses ini.

"Saya tidak akan mengambil masa yang lama. Hari ini kata-kata saya pendek tetapi mendalam.

"Terima kasih kepada setiap orang yang menjadi sebahagian daripada perjalanan selama bertahun-tahun ini.

"Saya pernah dan akan sentiasa bersyukur kerana telah menyarung jersi ini untuk mewakili apa yang paling saya sayangi di dunia ini, negara saya.

"Ia adalah tahun-tahun yang indah tanpa sebarang keraguan. Saya memiliki seribu perkara untuk diperkatakan, diceritakan dan diingati tetapi saya mahu menumpukan hari ini kepada perjalanan baru dalam karier saya dan saya mahu memberikan segala-galanya.

"Saya sudah berada di tempat yang sepatutnya saya berada sekarang," katanya.

Uruguay akan memulakan kempen Copa America dengan bertemu Panama pada 23 Jun ini.