Bekas bintang Liverpool, Jamie Carragher, tidak pasti sama ada Alex Oxlade-Chamberlain akan berjaya meraih tempat dalam kesebelasan utama Liverpool atau tidak.

Oxlade-Chamberlain menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan menerusi perpindahan bernilai GBP35 juta (RM193 juta) selepas menolak tawaran kontrak baru dari Arsenal serta peluang untuk menyertai Chelsea.

Dia membuat keputusan untuk berpindah selepas lebih gembira bermain di bahagian tengah, berbanding bahagian sayap ketika di bawah kendalian Arsene Wenger di Arsenal.

“Oxlade-Chamberlain banyak bercakap tentang keinginannya untuk beraksi di bahagian tengah tetapi ketika ini Liverpool telah memiliki lima atau enam pemain di posisi itu.

“Saya tidak pasti adakah dia akan berjaya meraih tempat atau tidak dan itu belum diambil kira faktor Philippe Coutinho dan Adam Lallana yang sedang cedera ketika ini,” kata Carragher.

“Dia seorang pemain yang bagus, tetapi untuk bahagian tengah, dia membuatkan saya menggaru kepala,” tambahnya.

“Saya tidak sabar untuk melihat perkembangannya nanti."