Ketua jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel, tiada kegusaran bahawa Harry Kane akan mampu menangani tekanan di Jerman dan percaya penyerang itu sudah mula memberikan inspirasi buat rakan sepasukannya menjelang aksi pertama Bundesliga menentang Werder Bremen awal pagi esok.

Penampilan pertama Kane sewaktu dimasukkan sebagai pemain gantian hujung minggu lalu tidak berlangsung seperti yang diharapkan apabila Bayern tewas 0-3 kepada RB Leipzig dalam penentuan Piala Super DFL, sekali gus menyaksikan penantian trofi pertama sepanjang kariernya terus berpanjangan.

Tuchel, yang mengkritik pasukannya selepas kekalahan itu, mengesahkan bahawa Kane, yang tiba daripada Tottenham dengan tanda harga £100 juta (RM591.99 juta) pada minggu lalu, akan memulakkan aksi awal pagi esok.

Dia berkata dalam sidang media: "Saya tidak fikir ia merupakan kali pertama dia menghadapinya (tekanan) dalam kariernya, jadi kerana itulah dia akan belajar untuk menyalurkan tekanan itu kepada prestasi dan kekal bertenang.

"Ia bukan tentang hidup atau mati. Ia sebuah permainan, permainan yang amat kompetitif dan dia telah membuktikan sepanjang 10 tahun ini dengan bagaimana dia melakukannya, jadi saya tidak gusar mengenai Harry.

"Kesan yang dibawa Harry Kane tidak akan hilang jika kami kalah. Ia mengenai caranya sewaktu latihan, dalam bilik persalinan, sikap profesionalnya, cara dia menghadapi sesuatu perkara dan betapa rendah dirinya dia sewaktu latihan, betapa berminatnya dia sewaktu latihan," katanya.