Sepp Blatter dan Michel Platini dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas dibicarakan di Mahkamah Jenayah Persekutuan di Bellinzona.

Tahun lalu, bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu masing-masing didakwa atas penipuan dan kesalahan lain oleh pihak berkuasa Switzerland berkaitan pembayaran CHF2 juta (RM9j) yang dibuat oleh Blatter kepada Platini pada 2011.

Blatter disabitkan pertuduhan penipuan, penyelewengan, salah urus jenayah dan pemalsuan dokumen.

Platini pula didakwa atas penipuan, mengambil bahagian dalam penyelewengan, mengambil bahagian dalam salah urus jenayah dan pemalsuan dokumen.

Kedua-duanya telah menafikan sebarang salah laku sebelum keputusan mahkamah memihak kepada mereka, malam tadi.

Blatter telah dianugerahkan CHF82,000 (RM371,369) bagi menampung kos mempertahankan pertuduhan itu selain CHF20,000 (RM90,614) sebagai pampasan, manakala Platini menerima CHF143,000 (RM647,677).

Menurut satu kenyataan daripada Platini yang dilaporkan oleh Reuters berbunyi: "Saya ingin menyatakan kegembiraan saya terhadap semua orang yang saya sayangi bahawa keadilan akhirnya telah ditegakkan selepas pembohongan dan manipulasi selama tujuh tahun.

"Kebenaran telah terbongkar ketika perbicaraan ini. Berulang kali saya telah katakan: perjuangan saya adalah perjuangan menentang ketidakadilan. Saya memenangi perlawanan pertama."

Blatter yang berada di mahkamah berkata: "Saya bukanlah suci dalam kehidupan ini tetapi dalam soal ini saya tidak bersalah."