Pemain tengah Everton, Ross Barkley, sedia untuk melepaskan aksi permulaan musim Liga Perdana Inggeris selepas menjalani pembedahan pada kecederaan pangkal paha sementara pemain pertahanan, Ramiro Funes Mori, dipinggirkan sehingga sembilan bulan.

Barkley menjalani rawatan pada hari ini, dengan masalah itu menghalang perjalanannya ke Tanzania dan Belanda yang menjadi sebahagian daripada jadual pra-musim kelab.

Pembedahan itu dikatakan berjaya dan diharapkan Barkley bersedia untuk beraksi dalam tempoh empat minggu, dengan Everton memulakan musim mereka dengan menentang Stoke City di laman sendiri pada 12 Ogos.

Barkley, yang kontraknya tamat pada Jun 2018, dikaitkan dengan perpindahan dari Goodison Park pada musim rehat, dengan Tottenham, Chelsea dan Manchester United antara kelab yang dikatakan berminat dengan pemain berusia 23 tahun itu.

Dengan pembelian besar Everton, Davy Klaassen, dan usaha sedang dijalankan terhadap Gylfi Sigurdsson yang mana Swansea City meletakkan harga £50 juta (RM279 juta), bermakna peluang Barkley untuk berada dalam kesebelasan utama mungkin akan dibatasi oleh Ronald Koeman jika dia kekal.

Sementara itu, Funes Mori terpaksa menjalani pembedahan lanjut terhadap kecederaan lutut dan diketepikan selama enam hingga sembilan bulan.

Pemain Argentina berkenaan mengalami kecederaan itu semasa tugasan antarabangsa pada Mac lalu.