Bintang Real Madrid, Gareth Bale, percaya dia tidak sepatutnya dilayangkan kad merah berdepan Las Palmas, namun meminta maaf atas apa yang berlaku.

Pemain antarabangsa Wales itu dibuang padang selepas menerima layangan kad kuning kedua selang beberapa saat pada minit ke-47 perlawanan, awal pagi tadi.

Bale pada awalnya dikenakan kad kuning ekoran mengasari Jonathan Viera.

Viera kemudian menolak Bale lalu menyebabkan kapten Wales itu melakukan tindak balas, sekaligus menerima layangan kad merah daripada pengadil.

Cristiano Ronaldo menjadi penyelamat apabila dua golnya di hujung perlawanan memastikan Real melakar keputusan 3-3.

"Saya tidak sepatutnya dibuang padang," Bale memberitahu Madrid TV.

Bale menambah: "Viera menolak saya dan saya membalas, jadi tidak sepatutnya saya dikenakan kad merah. Apa pun, saya mahu memohon maaf kepada rakan sepasukan dan jurulatih saya."

Sementara itu, pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata Bale telah memohon maaf lebih awal dalam bilik persalinan.

"Dia telah memohon maaf. Dia kecewa dengan apa yang berlaku.

"Perkara sebegini sentiasa berlaku, tiada sesiapa mampu mengubahnya.

"Selalunya saya gembira selepas tamat perlawanan tetapi kebelakangan ini, itu tidak berlaku. Perjalanan masih jauh."