Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menyifatkan pemburuan kemenangan ke-20 liga musim ini penting sebagai manifestasi kepada pencapaian terbaik pasukan dari Lembah Klang itu selepas mengesahkan slot ke saingan kelab Asia musim depan.

Malah katanya, tiga mata itu juga sebagai hadiah kepada penyokong setia The Red Giants apabila berdepan PDRM FC dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

"Ya, sudah tentu setiap pasukan mahukan kemenangan, namun kami mahu menghadiahkan tiga mata selepas meraih slot ke saingan Asia, berdepan PDRM kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menyokong pasukan Selangor.

"Kami mahu menjadikan keputusan positif perlawanan berdepan PDRM ini sebagai hadiah terima kasih pasukan Selangor kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants yang datang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan harapan yang cukup besar," katanya.

Sebagai rekod, tiga pertemuan sebelum ini menyaksikan Selangor tewas kepada PDRM 0-1 dalam saingan Liga Super dan 1-2 perlawanan kedua Pusingan 16 Piala Malaysia, namun mara dengan agregat 5-3 setelah mengatasi lawan 4-1 dalam aksi pertama sebelum itu.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga mengingatkan pemain The Red Giants yang akan diturunkan berdepan anak buah Datuk Ahmad Yunus Alif itu agar tidak memandang rendah keupayaan juara Piala Cabaran berkenaan.

"Dalam tiga pertemuan berdepan PDRM dalam saingan Liga Malaysia, dua keputusan ternyata tidak memihak kepada Selangor jadi perlawanan ini sekali lagi menuntut sepenuh fokus dan disiplin tinggi setiap pemain.

"Saya percaya PDRM juga sama seperti Selangor mahu memburu penamat terbaik musim ini selain memperbaiki kedudukan pasukan di posisi terbaik liga.

"Malah, kejayaan menjulang kejuaraan Piala Cabaran baru-baru ini diikuti kemenangan ke atas Kelantan FC selepas itu meletakkan motivasi PDRM dalam prestasi terbaik untuk membuktikan sesuatu sekali lagi apabila berdepan Selangor," katanya.

--Sinar Harian