Penyerang Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang, diserang dalam satu insiden rompakan di kediamannya.

Penjenayah dilaporkan memecah masuk kediaman pemain berusia 33 tahun itu di Castelldefels malam tadi -- rumah di mana Aubameyang tinggal bersama isteri dan dua anaknya.

Aubameyang dan isterinya dikatakan digari dan diikat sebelum penjenayah berkenaan memaksa mereka untuk membuka peti keselamatan.

Bekas tonggak Arsenal dan Borussia Dortmund itu turut dilaporkan dipukul dalam kejadian berkenaan tetapi Barca mengesahkan Aubameyang dan keluarganya dalam keadaan selamat selepas insiden buruk itu.

Barang kemas mereka dilaporkan dicuri dalam kejadian pecah masuk itu, yang berlaku selepas kemenangan 4-0 Barca ke atas Real Valladollid di Camp Nou awal pagi semalam.