Pierre-Emerick Aubameyang berkata ia sesuatu yang hebat untuk memilik Xavi sebagai ketua jurulatih selepas melengkapkan perpindahannya ke Barcelona.

Aubameyang menyertai pasukan gergasi LaLiga berkenaan selepas kontraknya dibatalkan Arsenal.

Dia mengikat kesepakatan bersama Barca sehingga Jun 2025 dengan pilihan penamatan kontrak lebih awal pada Jun 2023 selain turut miliki klausa pelepasan bernilai €100 juta (RM472.49 juta) dalam kontrak itu.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini dilaporkan mempunyai hubungan tegang dengan pengurus Arsenal, Mikel Arteta, sehingga dilucutkan jawatan ketua pasukan di Stadium Emirates dan tidak beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir.

Bercakap dalam laman sosial pasukan barunya, Aubameyang mendedahkan rasa kagumnya terhadap Xavi, yang merupakan legenda Barca dan pemenang Piala Dunia, dengan berkata: "Saya fikir ia amat hebat untuk memiliki Xavi sebagai jurulatih.

"Dia seorang pemain yang hebat seperti yang semua orang tahu dan saya amat yakin bahawa sebagai jurulatih, dia akan memberikan kami sesuatu untuk dipelajari, tidak syak lagi."

Penyerang Gabon itu turut bercakap mengenai kebanggaannya dapat menyertai Blaugrana sambil berkata sasaran utamanya adalah untuk membawa mereka kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Saya amat berbangga untuk berada di sini, terutama kerana keluarga saya daripada ibu saya juga berbangsa Sepanyol, jadi saya amat berbangga dan gembira untuk berada di sini.

"Sasaran utama saya adalah untuk memberikan segala yang saya mampu untuk membawa pasukan ini kembali ke UCL. Saya amat gembira untuk berada di sini dan akan mencuba untuk memberikan segalanya," katanya lagi.