IVORY COAST 1 CONGO 0

Sebastien Haller menjaringkan gol tunggal untuk membawa pasukan tuan rumah, Ivory Coast, ke final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan menumbangkan Congo 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stade Olympique Alassane Ouattara, Abidjan awal pagi tadi.

The Elephants pada awalnya hampir tersingkir di peringkat kumpulan dan memecat pengurus mereka sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati dengan menduduki tempat keempat senarai pasukan di tangga ketiga terbaik.

Mereka kemudian bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Senegal dalam pusingan 16 sebelum memerlukan gol pada minit ke-90 untuk mengikat kedudukan dan jaringan daripada sepakan terakhir untuk menewaskan Mali dalam suku akhir.

Kini, jaringan Haller pada minit ke-65 sudah cukup untuk membawa mereka ke final buat kali kelima hasil bimbingan ketua jurulatih interim, Emerse Fae, yang mengambil alih peranan itu selepas pemecatan Jean-Louis Gasset berikutan kekalahan memalukan 0-4 kepada Equatorial Guinea.

Seandainya mereka dapat menewaskan Nigeria dalam aksi final pada awal pagi Isnin ini, ia pasti akan menjadi naskah bersejarah mengenai kebangkitan luar biasa yang digarap oleh seorang jurulatih sementara.