Ketua jurulatih Buriram United, Osmar Loss, hadir dengan misi untuk meraih tiga mata berharga untuk mara ke pusingan seterusnya menjelang perlawanan keenam Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

Jurulatih berusia 49 tahun itu mahu menjadikan pertembungan berdepan Harimau Selatan sebagai medan untuk kembali di landasan kemenangan selepas dua kali tewas ketika berdepan Kawasaki Frontale dan Yokohama FM sebelum ini.






"Ini adalah perlawanan sukar buat kedua-dua pasukan, saya berharap kami boleh beraksi pada tahap yang terbaik untuk meraih mata dan mara ke pusingan seterusnya.

"Setiap perlawanan berbeza, kami tidak boleh terus pandang belakang dan cuba bersaing. Ia adalah cabaran berbeza berdepan kelab dari Jepun, liga mereka lebih tinggi di peringkat Asia," katanya.

Ketika ditanya mengenai rekod baik JDT di laman sendiri dia menjawab: "Saya rasa dalam bola sepak tiada yang mustahil, apa-apa perkara boleh berlaku. Malah, semuanya boleh berlaku dalam bola sepak.






"Kami menghormati pasukan lawan yang sangat kuat di laman sendiri tetapi kami percaya pada pemain kami serta prestasi pasukan, kami mahu tunjukkan mereka perlu menghormari Buriram juga." tambahnya.