Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, mengakui pasukannya berada dalam tekanan menjelang aksi keenam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang pasukan gergasi Thailand, Buriram United, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Venezuela itu menegaskan pasukannya sudah terbiasa dengan tekanan itu dan setiap pemainnya pasti akan menikmati cabaran berkenaan.

JDT berdepan kekalahan kedua dalam ACLE musim ini apabila tewas 0-1 di laman Shandong Taishan hujung minggu lalu, sekali gus menjadikan aksi menentang Buriram kali ini sebagai misi wajib menang bagi mencerahkan peluang mereka ke pusingan 16.

Mengulas mengenai keadaan itu, Bidoglio berkata dalam sidang media: "Pada pandangan saya, pemain di JDT sudah terbiasa dengan tekanan seperti ini.

"Sebenarnya, setiap perlawanan ibarat final buat kami dan ketika ini, kami sedang bersaing dalam tiga kejohanan.

"Saya dapat rasakan yang pemain kami akan menikmati perlawanan seperti ini.

"Ia perlawanan yang amat penting dan pemain kami amat gembira jika mereka dapat bermain.

"Semua pemain mahu beraksi esok dan saya memiliki skuad yang amat baik," katanya.