Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 hari ini menyaksikan Dania Sofea Zaidi menepati ramalan ke separuh akhir meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Pilihan pertama kategori perempuan B-18 dari Johor Bahru itu menewaskan wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Lee Kay Xin 21-2, 16-21, 22-13.

Lantas, dia dijadualkan berdepan pilihan ketiga dari Melaka, Shaneesa Shahidi, dalam misi mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

"Saya berpuas hati dapat habiskan perlawanan dan menang sebab baru pulih daripada kecederaan.

"Saya harap dapat keluarkan (kemampuan) sehabis baik hasil daripada latihan yang dijalani," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Sementara itu, bagi acara beregu lelaki kategori B-15, gandingan WPKL, Liew Tian Hao dan Wong Zhe Han, mudah mara ke separuh akhir selepas menang 21-13, 21-17 ke atas pasangan Melaka, Curson Cheng-Tan Jared.

Menanti mereka dalam separuh akhir ialah gandingan dari Pahang, Lucas Yeo-Marcus Hang, yang juga pilihan ketiga kejohanan.