THAILAND 2 (3) VIETNAM 3 (5)

Vietnam muncul juara buat kali pertama sejak 2018 selepas menewaskan juara bertahan, Thailand, sekali gus menambah tiga koleksi piala Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.


Seawal minit kelapan permainan, tonggak utama Hanoi, Pham Tuan Hai, menyumbat gol pertama buat pasukan pelawat untuk kedudukan 1-0 selepas dilayangkan kad kuning, sekali gus memberi kelebihan agregat 3-1.

Sepakan jarak jauh daripada Ben Davis berhasil menyamakan kedudukan 1-1 termasuk merapatkan jurang agregat 2-3 untuk terus menghidupkan api perjuangan pasukan Gajah Perang.

Episod duka Vitnam tiba tatkala penjaring terbanyak kejohanan dengan bilangan tujuh gol, Nguyen Xuan Son, terpaksa diusung keluar dan diberitakan menerima kecederaan serius pada minit ke-33.

Keputusan itu mengakibatkan Kam Sang-sik memasukan penyerang berpengalaman, Nguyen Tien Linh, bagi menggantikan pemain berstatus naturalisasi itu.



Memasuki babak kedua, skuad kendalian Masatada Ishii tidak berputus asa melakukan serangan dan hampir menguasai keseluruhan padang dengan pelbagai gerakan untuk mencipta peluang.

Kontroversi berlaku di sebalik jaringan kedua Thailand yang hadir menerusi situasi tidak diduga oleh Vietnam.

Bintang berpengalaman, Supachok Sarachat, membuat kuisan cantik menewaskan Nguyen Dinh Trieu pada minit ke-64, namun pemain dan barisan kejurulatihan Vietnam melakukan bantahan atas faktor 'fair play' yang tidak dimainkan oleh juara bertahan itu.

Pemenang Kejohanan Piala AFF musim lalu itu dihukum di hadapan peminat tempatan susulan pemain tengah Bangkok United, Weerathep Pomphan, dilayankan kad kuning kedua yang menyebabkan pengadil perlawanan memberikan kad merah sebelum mereka harus bermain dengan 10 pemain sahaja.

Kelebihan 11 pemain di atas padang dimanfaatkan oleh Vietnam apabila serangan pada minit ke-81 membuahkan hasil selepas Pansa Hemviboon, tertampan bola ke gawang sendiri yang mengubah kedudukan kepada 2-2 memberi keuntungan kepada Vietnam dengan agregat 4-3.



Nguyen Hai Long menoktahkan kemenangan Vietnam yang mengambil peluang melakukan sepakan daripada kawasan tengah padang ketika gawang tidak dibolosi oleh penjaga gol untuk menutup cerita aksi akhir itu dengan kedudukan 3-2 yang membawa kepada agregat 5-3.

Kemasukan bekas pemain Red Urawa Diamonds, Ekanit Panya, tidak mengubah aksi meskipun tambahan masa diberikan sebanyak 15 minit.

Selepas mara ke peringkat akhir dan mencatatkan kemenangan sebanyak tiga kali berturut-turut sejak 2020 kejohanan dwitahunan Asia Tenggara itu, akhirnya kecemerlangan Thailand terhenti dan tewas di tempat sendiri oleh Vietnam.