Niat murni pemain warisan berpengkalan Belanda, Mats Deijl, menyarung jersi negara tidak kesampaian.

Hampa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sesekali menghadirkan situasi berpatah arang.

Malah menegaskan masih terbuka dalam pencarian pemain berdarah warisan di seluruh pelosok dunia.


“Saya berharap adanya beberapa pemain warisan yang berpengkalan di luar negara ini tidak ‘membantutkan’ usaha kita untuk meneruskan atau mendapatkan pemain terbaik bagi meneruskan agenda kita untuk memperkuatkan pasukan nasional.

“Walaupun kita nampak usaha untuk mendapatkan (Mats Deijl) itu gagal, kita juga harus ucapkan terima kasih kepada beliau kerana hasrat murni (bermain untuk) Malaysia,” katanya Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, selepas Majlis Menandatangani Perjanjian di antara FAM & Warner Music Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berbeza, FAM dan Warner Music Malaysia capai kata sepakat dalam kerjasama penggubahan lagu khusus buat Harimau Malaya.

Berlandaskan semangat skuad kebangsaan yang disatukan dengan sokongan padu penyokong negara, hasrat FAM mahu melihat lagu rasmi Harimau Malaya itu mampu membawa aura berbeza buat semua pihak.

Pengarah A&R Warner Music Malaysia dan Singapura, Raqeem Brian, sedang mempertimbangkan beberapa perkara utama sebelum keputusan akhir diumumkan dalam masa terdekat.