Olimpian berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri, membuktikan kewibawaannya apabila
menyapu bersih setiap acara Kejohanan YSD Track Series 13 dan 14 yang disertainya termasuklah acara keirin kategori wanita elit.


Menurut wakil Kedah itu, kemenangan yang dicapai di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini semestinya hasil daripada pengalaman bertanding dalam pelbagai kejohanan di luar dan dalam negara.

Pada awal perlumbaan dia sebenarnya sedikit ketinggalan tetapi dengan pertukaran taktikal, dia mampu memberikan kayuhan bertenaga bagi mengesahkan kejuaraan apabila meninggalkan Anis Amira Rosidi dan bintang meningkat naik dari Johor, Nur Alyssa Farid.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati kerana mempunyai pencabar baru selain Anis Rosidi yang sering memberikan saingan tinggi.

"Kali ini giliran Alyssa pula yang diberikan pendedahan baru dan kami bertiga akan bertanding antara satu sama lain untuk mencari siapakah pelumba terbaik.




"Saya sudah banyak belajar daripada penyertaan di luar di mana ia membantu memperbaiki strategi saya. Berdasarkan cara mereka berlumba, saya mampu mengenal pasti ilmu baru," katanya kepada Nadi Weekend.